Wednesday 16 October 2013

MY FIRST GIG

NORIFUMI ZINE: APAKAH GIG YANG PERTAMA SEKALI KO PERGI?
BEAR AMRAN: Sebenarnya aku kurang pasti pulak akan nama gig yang pertama aku pergi tu, samada ianya Fuck The Capitalist atau Valentine Massacre. Yang aku ingat ianya adalah satu siri gig yang di anjurkan oleh Weng, dan antara bands yang terlibat termasuklah Silent Majority, Mass Separation, This Is Your Enemy dan yang datangnya khas dari Japan adalah Damage Digital. Tapi yang agak uniknya pada masa tu, di flyer gig nama Damage Digital hanya di tulis DXDX, sampaikan ramai yang tidak tahu band apakah itu:) masa tu gitaris Damage Digital iaitu Irman Hilmi masih study kat Japan. Gig tersebut di adakan di Actors Studio, di bawah Dataran Merdeka tu.

Satu hari semasa aku sedang melepak di Restoran Hameed, Weng telah mengajak aku dan beberapa orang lagi kawan menolongnya mengangkat stage untuk di masukkan ke dalam Actors Studio, untuk digunakan semasa acara gig keesokkan harinya. Stage yang di maksudkan itu hanyalah setinggi 2 jengkal aje dan seluas lebih kurang lori satu tan setiap satunya. Kepada mereka yang pernah pergi ke Actors Studio pada masa itu, tentu tahu keadaan venue tersebut. Ianya hanyalah satu bilik kosong yang akan di masukkan prop tertentu bergantung kepada event yang bakal berlangsung nanti. Berbalik kepada stage yang aku dan kawan-kawan tolong angkatkan itu, ianya terdiri daripada banyak binaan-binaan bongkah kayu, dan apabila ianya di gabungkan jadilah ianya 'stage yang lebih besar', tapi ketinggiannya masih lagi lebih-kurang 2 jengkal. Sebaik aje habis menolong mengangkat dan mengabungkan stage tersebut, Weng memberitahu yang semua yang menolongnya malam itu boleh masuk free ke dalam gig keesokkan harinya.

Di hari berlangsungnya gig, aku tiba agak lewat kerana hari tu aku kerja separuh hari. Sampai aje di venue gig, aku terus masuk ke dalam. Band Silent Majority tengah perform, dan aku cuma nampak sikit-sikit aje, itupun ketika diaorang melompat. Stage setinggi 2 jengkal itu langsung tidak membantu aku untuk melihat dengan jelas. Walaupun dengan stage yang rendah itu, aktiviti stage diving seolah-olah tidak pernah terhenti. Sedikit demi sedikit aku cuba menyelit di tengah-tengah manusia yang padat itu. Bau peluh dan kehangatan seperti sauna itu bukan lagi isu. Akhirnya aku sampai juga ke depan, masa tu langsung tiada pemisah antara band dan crowd, sesuatu yang amat berbeza dengan konsert-konsert rock yang pernah aku pergi sebelum itu. Sama-sama stage dive, crowd dan band, sampaikan satu masa tu Yeap dari Mass Separation aku lihat lebih banyak stage dive dari main gitar.

Menyaksikan Damage Digital buat pertama kali juga betul-betul blow everything off. Profesionalism dan DIY bergabung. Itulah kali pertama aku tengok drummer yang bawak snare drum sendiri, biasanya sebelum itu drummer hanya bawak drum stick aje. Dan juga vocalist yang sama-sama 'tune' vocal kord walaupun cuma main grindcore. Damage Digital will always have a special place in my heart. Cuma yang sedikit ralat tu bila diaorang perform dengan Dying Fetus itu hari aku tak dapat pergi, dah tu sapa suruh bikin gig di musim perayaan.

Selepas tu muka aku sentiasa ada di acara-acara gig sekitar Kuala
lumpur, kalo ada 10 gig, nescaya 8 daripadanya aku akan pergi. Pergi ke gig mengajar aku berkawan, sepanjang aku pergi ke gig DIY tidak pernah sekalipun tercetus pergaduhan di dalam mosh pit, walaupun kadang-kadang tu kitaorang mosh macam orang utan mabuk. Kalo ada kawan yang terjatuh di dalam mosh pit, pasti ada yang tolong mengangkatnya. Kalo ada yang dive, pasti ada yang sambut walaupun tak kenal sapa!
Gig DIY is not about those who scream their lungs out on stage, but it's about all of us!

Sunday 13 October 2013

KERANA MY FIRST ZINE BUNYINYA LEBIH COOL DARI ZINE PERTAMA SAYA

Aku pun kurang pasti bila sebenarnya peristiwa ni terjadi, tapi aku rasa ianya dah lebih dari 15 tahun yang lampau. Masa tu aku tengah mundar-mandir sorang-sorang kat sekitar bandar kuala Terengganu ni. Kalo aku meronda di bandar kuala Terengganu, antara tempat yang aku paling suka dan wajib pergi adalah kedai kaset. Semua kedai kaset yang kaki aku mampu pergi, aku akan singgah. Bukannya beli kaset apa pun, sekadar usha cover kaset yang ganas-ganas, dan kalo ada peluang, rembat sekeping dua. Antara kaset yang pernah aku rembat termasuklah kaset band Wings-yang covernya gambo diaorang tengah berendam, kaset Rohana Jalil-yang ada lagu 'rayuanku' di dalamnya, dan kaset Vanilla Ice-sudah tentu kerana di dalamnya terdapat lagu Ice-Ice Baby. Tapi kesemuanya aku rembat kat kedai kaset Kanna, pasal sistem kat dalam kedai tu menganggap semua budak sekolah yang masuk kedai diaorang hanyalah untuk merembat kaset aje, so ianya seperti satu pengajaran kepada mereka yang selalu berperansangka buruk kepada para misfits ni:). Kat kedai kaset Kanna, tiap Kali kita masuk kedai, akan ada staffnya yang langsung tak tahu apa-apa pasal band-band ni, follow kemana ceruk kedai kita pergi. Tapi itu cerita lain.

Satu hari yang ceria tu, aku terjumpa satu kedai kaset yang kecik aje ni, kat Kompleks Kampung Tiong. Walaupun nama tempatnya Kompleks Kampung Tiong, tapi ianya terletak di tengah-tengah bandar kuala Terengganu. Kedai yang berdindingkan kaca itu, di luarnya di hiasi dengan poster-poster bands rock dan metal yang aku rasakan begitu cool sekali pada masa itu. Kebetulan pada pertama kali aku menjejaki kaki ke situ, kedai tu belum di buka lagi pintunya, so aku layan aje lah poster-poster mamat rambut panjang tu kat luar, sambil berangan-angan untuk turut menyimpan rambut panjang suatu hari nanti, which im totally failed. Tengah aku best berangan sampai ke Sweden tu, datang seorang mamat berambut panjang di ikat rapi, membuka kunci pintu dan mengajak aku masuk. Itulah Ghani, tuan punya kedai kaset tersebut. Ghani seorang mamat rock yang peramah, suka memakai kasut converse dan sentiasa nampak seperti baru lepas mandi.

Kedai kaset Ghani tidaklah besar manapun, kalo sepuluh orang masuk ke dalamnya secara sekaligus, maka keadaan kat dalam kedai tu akan menjadi padat seperti kat gig hardcore. Oleh kerana pada masa tu takde lagi di keluarkan kaset diy oleh scene disini, makanya di dalam kedai kaset tu hanya di jual kaset keluaran mainstream aje. Tapi dalam kedai kaset Ghani tu ada satu showcase, dan dalam showcase tu ada sesuatu yang mencuri perhatian aku. Ianya berbentuk seperti buku, tapi lebih nipis dan di photostat aje. Covernya berwarna hijau, dan di depannya tertera perkataan 'HEARTCORE'. Aku belek-belek sedikit di dalamnya. Ianya mengandungi temuramah dengan band-band serata dunia yang tidak pernah aku dengar namanya. Juga artikel-artikel tentang kemanusiaan dan ulasan-ulasan muzik yang agak asing bagi aku.

"Buku ni nak jual ke?", tanya aku kepada Ghani, dengan tangan aku mengangkat "buku" yang kebetulan pada masa tu hanya tinggal sebijik aje tu. Pada masa tu aku tak tahu lagi yang "buku" tersebut di panggil 'fanzine'.
"Ambik r, tiga ringgit aje. Awok-awok kite gok buat tu", jawap Ghani ringkas sambil-sambil menyapu lantai kedainya itu.
Terus aku tertarik dengan 'buku' tersebut, bukannya pasal isi kandungannya semata. Bukan juga pasal ianya berharga rm3 sahaja, tapi pasal ayat Ghani yang bunyinya,"awok-awok kite...", di sebabkan pada masa tu cuma ada aku dan Ghani saja dalam kedai tu, maknanya "kite" disini adalah Ghani dan aku. Manakala "awok-awok" pula merujuk kepada mereka-mereka yang bersekutu atau "geng" dengan "kite" ni.
Pertamanya, "buku" itu adalah really something.
Kedua, pada masa itu aku seperti sudah menjadi "geng" kepada mereka yang menghasilkan "buku" yang really something itu.
Apa yang aku rasakan pada masa itu adalah,"I'm not alone anymore!". Aku sudah jumpa "group" aku. A group of misfits. Ianya seperti kamu berada di dalam gua selama 20 tahun, dan sekarang kamu berdiri di pintu gua, -dunia yang luas tersergam di depan mata.

Terus aku bayar tiga ringgit kat Ghani, dan berlalu pergi atas alasan 'ada hal sikit', hal yang sebenarnya, aku pegi melepak kat tokong sebelah Kompleks Kampung Tiong tu, yang ada ular sawa besar tu, semata-mata nak baca "buku" tu. Dengan tangan yang sejuk-panas, nafas yang laju, aku pandang kiri-kanan, aku selak helaian "buku" tu satu persatu. Melalui pembacaan pertama, banyak benda dan istilah yang aku tak faham. Tapi aku dah belajar, "buku" yang aku pegang dan baca tu di panggil FANZINE, yang di bikin oleh seorang mamat dari Seberang Marang yang bernama Nazri Chik. Dan aku juga tahu, yang selepas itu aku tak akan menjadi "normal" lagi.
Apa yang aku buat lepas tu?
Aku pegi makan nasi ayam:)
Tengok ular sawa tu makan ayam mentah membuatkan aku jadi lapar jugak. Agaknya selepas 15 tahun, apa nasib ular sawa tu sekarang ye:)

Di dalam bas, dalam perjalanan balik, aku bercadang nak baca lagi fanzine tu, tapi impian murni aku tu terhalang, pasal bas sendat gila khinzir. Drebar bas ni, lagi boleh sumbat, diaorang akan sumbat. Kalo ikutkan diaorang, atas bumbung bas pun diaorang nak suruh naik. Yang duduk atas kerusi berkongsi 3 orang tu dah satu hal. Yang berdiri pulak lagi satu hal. Kes raba-raba punggung dah menjadi lumrah, mata tengok kat lain, tangan merayap! Apa best sangat ke raba bontot orang ni! Ko mari sini r, raba bontot aku kalo berani! Tapi time tu aku kurang peduli sangat semua tu, aku cuma mahu sampai kerumah secepat mungkin supaya aku dapat membaca kembali fanzine yang cool itu.

Sampai aje kat rumah, aku terus masuk bilik dan kunci pintu kemas-kemas mengalahkan orang yang nak belek Majalah playboy pulak. Dari sehelai ke sehelai mukasurat fanzine itu aku belek. Dari cover depan, sampailah ke belakang. Banyak yang aku tak faham sebenarnya, tapi aku merasakan semakin ketagih dengan dunia yang baru aku jumpa itu. Aku ingat dalam minggu tu, aku habis baca fanzine tu tak kurang dari 5 Kali, cover to cover. Satu pencapaian yang memang boleh di banggakan bagi seorang yang hanya membaca buku teks sekolah apabila di paksa. Kalo mak aku tengok aku tido dengan muka tersemban atas fanzine tu, mesti dia rasa sejuk perut mengandungkan aku dulu. Padahal mak aku tak tahu, time tu aku tengah dalam proses menjadi 'tidak normal'!

Hujung minggu berikutnya, semasa melepak di Plaza Perdana, aku terpandang ada seorang mamat kecik-kecik ni seakan mempromosi sesuatu kepada kawan-kawannya. 'sesuatu' itu adalah senaskah fanzine yang mempunyai cover berwarna oren. Dengan hati yang naif, aku cuba mendekati mamat-mamat yang cool ini. Selepas seketika, baru aku di perkenalkan yang mamat cool kecik-kecik tu bernama Nazri Chik, iaitu editor fanzine HEARTCORE, dan masa tu dia baru aje mengeluarkan fanzinenya issue terbaru, kalo tak silap aku, yang cover kaler Oren tu adalah issue nombor 4. Oh! Sudah tentu aku membelinya, dari tangan editornya sendiri tu. Sejak dari hari itu, semakin banyak fanzine yang 'singgah' ke tangan aku. 'singgah' tu pasal aku tak banyak simpan fanzine yang lama-lama ni, dan sekarang ni aku rasakan seperti satu kerugian pulakk. Antara fanzine yang aku pernah dapat termasuklah zine Parasit, Aedes, Real Choices, Piss Of Mind, Vortex From The East dan yang agak terkemudian seperti fanzine Suffer Age dan Pang!

Selepas itu aku jarang-jarang jumpa Nazri Chik, sehinggalah aku bekerja di Kuala Lumpur dan sering menghabiskan waktu petang aku di Restoran Hameed. Boleh di katakan setiap hari aku dapat bersua dengannya, masa tu rambutnya dah di dreadlockkan. Dari seorang yang aku anggap cool, dah bertukar menjadi seorang yang lawak. Selalu aje ada cerita untuk di kongsikan. Maybe dia tak ingat nama aku, cukuplah sekadar aku kenal siapa dia, luarannya.

Sejak dari hari itu, aku sentiasa bergelumang dengan fanzine. Sesekali aku berjauhan dengannya, dan banyak Kali juga aku tido tersemban muka di atasnya. Dari apa yang aku fahami, perkataan FANZINE itu sendiri adalah berasal dari dua gabungan perkataan iaitu 'FAN'(peminat) dan 'MAGAZINE(majalah). Secara kasar dan mentahnya, ianya boleh di tafsirkan sebagai majalah yang di hasilkan oleh peminat sesuatu subjek itu. Fanzine bukannya lahir dari scene punk, ianya telah wujud lebih awal dari itu. Cuma ianya telah di glorifiedkan semasa zaman meletusnya wabak punk yang berfikir iaitu sekitar tahun 80an kerana ianya mempunyai sifat yang sinonim dengan prinsip DIY (do it yourself), salah satu elemen yang penting dalam pergerakan punk.

Berbalik sebentar kepada scene 'fanzine Heartcore' tadi, walaupun aku agak kurang pasti tentangnya tapi aku rasa itu adalah gelombang fanzine punk yang pertama di kuala Terengganu, bersama-sama fanzine Aedes, yang lebih awal muncul. Fanzine Parasit pun muncul pada era ini juga, iaitu selepas keluarnya album Carburetor Dung-Songs For A Friends. Kalo tak silap aku, Jijoe yang buat zine tu, tapi banyak di dominasikan oleh Joe Kidd. Isi kandungannya adalah cut and paste, dan tulisan tangan Joe Kidd. Dan aku rasa ianya laku, pasal time tu knowledge mengenai punk memang di cari-cari oleh ramai bebudak.

Selepas itu muncul pula apa yang boleh aku katakan sebagai gelombang fanzine yang kedua di Terengganu ni, dengan kemunculan fanzine Chaos PS yang di bikin oleh arwah Syukree dari Dungun. Dan juga Pang zine, yang selepas itu berevolusi menjadi Pang Core. Pang zine bagi aku bukanlah sebuah fanzine dari Terengganu, pasal editornya iaitu Mat banyak menghabiskan masa (atas urusan tertentu) di Johor, tapi Mat atau nama manjanya Mat Pang adalah berasal dari Terengganu. Pada pendapat aku, (pendapat peribadi ajelah, pasal 'benda-benda ni' muncul pada masa yang sama) Mat adalah antara penyebab kemasukkan fanzine dari Johor ke kuala Terengganu seperti SUFFER AGE zine dan GAMELAN zine.

Aku rasa semasa era ini jugalah aku cuba membikin fanzine aku sendiri, sesuatu yang tak ramai orang tahu:). Langkah pertama adalah dengan menyebarkan flyers meminta sumbangan bahan. Respons yang di perolehi agak memberangsangkan, ada yang kirimkan demo kaset, piring hitam, zine dan yang paling banyak sekali aku dapat ialah sampul surat yang di sumbat penuh dengan flyers. Trend di zaman itu adalah kamu perlu mempunyai satu rubber stamp dengan nama projek kamu, dan/atau alamat surat-menyurat kamu. Rubber stamp ni kegunaannya adalah untuk di cop di belakang flyer-flyer yang sampai kepada kamu, sebelum kamu spread-kannya semula. Satu peristiwa yang agak lawak adalah apabila seorang penpal dari Singapore mengirimkan aku sejumlah flyers band lokal dari sana (aku sudah lupa nama band tu), so aku telah mengecop alamat aku di belakang flyer-flyer tersebut sebelum mengedarkannya semula. Apa yang terjadi selepas itu adalah, aku mendapat banyak surat interview dari fanzine yang perlu di jawab oleh band tersebut, tapi di alamatkan kepada aku. Jenuh aku mengembalikannya semula, sampai dari south Africa pun ada satu. Tapi yang dari south Africa tu memang best, pasal aku dapat jadi penpal mamat tu, dan kami selalu trade kaset punk yang aneh-aneh. Berbalik kepada fanzine yang aku bercadang nak buat tu, ianya terhenti di tengah jalan aje, aku pun tak tahu kenapa, tapi sempat juga interview aku di balas oleh band-band seperti Paranoid Pest (KL), Future Primitif (Johor), Simbiose ;Bulgaria, or maybe Portugal), Egocentric Records (Germoney), dan dua orang mamat yang buat compilation tapes of metal bands. Selepas itu aku pun dah kurang pasti lagi:).

Semasa aku bekerja di Kuala Lumpur, aku sentiasa mendengar tentang kehebatan dua fanzine ni-DRSA zine dan NARATOR zine. Setelah sekian lama, baru aku ketahui bahawa ianya di bikin oleh dua orang adik-beradik. Berdasarkan alamat yang tercatat dalam fanzine tu, pernah sekali aku cuba menjejaki dua beradik pembikin fanzine tersebut. Tapi tak ramai rasanya yang tahu di mana letaknya Kampung Banggol Limau tu. Sampaikan ada sorang pakcik teksi tu yang cakap Kampung Banggol Limau tu terletak kat Kemaman. Suatu petang semasa aku sedang lepak sambil layan bebudak main skate kat depan Istana Maziah, aku telah berkenalan dengan editor DRSA zine ini, iaitu saudara Fazri dan hubungan persahabatan tu kekal sampai ke hari ini. Tapi itu adalah cerita lain untuk lain masa, barangkali.

Pada zaman itu juga wujud fanzine seperti Mosh, Go Straight Down, Fuzztival dan yang terkemudian sikit adalah seperti fanzine Emo-c dan Coalition zine. Fanzine -fanzine ni datang dan pergi, kalo ada yang masih bertahan pun cuma Mosh zine. Sesuatu yang aku rasakan ketara tentang scene fanzine pada masa tu adalah ianya datang dari kelompok yang sama. Pembikin-pembikin fanzine ni saling mengenali antara satu sama lain. Kelompok ini pula lebih menjurus kepada kelompok yang lebih cenderung kepada muzik punk. Seperti contohnya, editor untuk fanzine ni adalah juga pemain gitar untuk band ni, ianya seperti pusing-pusing dalam satu kitaran yang sama. Mungkin kerana ketiadaan pelapis, lama-kelamaan gelombang fanzine yang ini semakin tidak bermaya.

Sehinggalah sekitar tahun 2012, kemunculan tsunami fanzine di kuala Terengganu di kesan kembali dengan serangan dari fanzine-fanzine seperti Whacko-Jacko, Mok Ayoh zine, Wo(man), fanzine keluaran dari Kolektif Buku Jalanan dan banyak lagi. Yang menariknya, mereka datang dari genre yang berbeza. Scene fanzine di kuala Terengganu kini meriah kembali.

Apa yang aku cuba tulis di sini bukanlah satu report tentang scene fanzine di Kuala Terengganu, ianya cuma pengalaman aku sepanjang bergelumang dengan scene fanzine ni. Aku bukanlah seorang pemuzik, aku seorang yang tone-deaf, jadi scene fanzine adalah lebih menyelesakan kepala hotak berjambul aku. Aku masih lagi mencari fanzine yang dapat memberikan perasaan yang hampir sama aku rasakan masa mula-mula aku baca fanzine bercover hijau tu dulu. Cinta pandang pertama adalah yang akan terus kekal di hati kita, walaupun selepas tu 150 juta cinta yang lain datang.

Saturday 12 October 2013

KOLEKSI FLYERS!

Antara kesukaan aku adalah mengumpul flyers yg ada kaitan dengan punk hardcore. Dan di sini ada aku tampilkan beberapa daripadanya;