Saturday 23 November 2013

SOLD OUT

LUQMAN LOQUE AL-HAKIM:- ISU SOLD OUT, MENJADI MAINSTREAM BAND, BANYAK BERLAKU. ADA YANG BERSETUJU, DAN ADA YANG TIDAK BERSETUJU.
APA PENDAPAT BEAR TENTANG ISU TERSEBUT?

BEAR:- Bagi aku, kalo isu sold-out dari band DIY ke band mainstream tu dah menjadi satu isu yang lapuk, dan aku tak rasa isu sedemikian masih lagi wujud sekarang. Dengan terhidangnya medium-medium penyampaian dan mencangkupi rangkaian laman-laman sosial, menjadikan hampir semuanya boleh di lakukan dengan DIY sekarang. Dahulu, band-band underground bersekongkol dengan label-label besar untuk meriliskan stuff diaorang, atas dasar label-label besar ni mempunyai jaringan pemasaran yang luas lantas mampu menolong band-band underground ni menyebar-luaskan stuff diaorang ni (dan juga mesej, kalo ada). Tapi sekarang situasinya sudah berbeza, band-band DIY sudah mempunyai kemahiran dan pengetahuan dalam proses rakaman, percetakan dan pengedarannya. Rangkaian laman sosial seperti Facebook dan YouTube juga memainkan peranan yang amat besar dalam proses menyebarluaskan mesej ini. Terima kasih juga kepada laman-laman sosial ini yang banyak berjasa dalam proses komunikasi sesama kita. Sekarang ni untuk berkomunikasi dengan mereka yang berada di mana sahaja yang ada rangkaian internet hanya mengambil masa beberapa saat sahaja. Kos nya pun murah juga, hanya perlu membayar untuk perkhidmatan internet aje, amat murah jika di bandingkan kalo kita terpaksa membayar ongkos pos yang semakin hari semakin meningkat.

Secara kesimpulan awalnya, proses penghasilan material band diy ni dari segi rakaman, pencetakan, pengedaran, tour, dan lain-lain lagi adalah boleh di lakukan 100% bebas campurtangan label mainstream. Suka aku tambah di sini, majoriti khalayak sekarang mendapatkan rakaman musik (kerana kita berbicara tentang musik di sini) dalam bentuk digital, bukan fizikal. Oleh sebab itu, penjualan musik dalam bentuk fizikal (kaset, cd, vcd) adalah merundum sekarang. Apa yang membantu penjualan musik ni adalah datangnya dari penjualan merchandise (seperti tshirt majoritinya). So tiada sebab lagi kenapa harus band underground/ DIY beralih arah ke label-label yang besar apabila mahu meriliskan sesuatu rakaman. Semuanya boleh dilakukan dengan DIY, bahkan label-label besar pun sudah mula mempraktikkan cara label-label DIY ni beroperasi melalui kaedah-kaedah yang berorientasikan YouTube, dan laman sosial dll.

Tetapi dalam pada itu, ada juga senario yang kurang enak terjadi tentang isu sold-out ni, iaitu 'sold-out' idea, golongan-golongan lalang. Di dalam punk, ianya langsung tidak memaksa seseorang itu stick to the same idea aje, sekurang-kurangnya itu yang aku percaya. Bagi aku, punk sentiasa bertangan terbuka terhadap idea-idea baru, tapi pada masa yang sama tidak bermakna punk mesti 'memeluk' semua idea yang datang. You must question everything's, then barulah buat keputusan kamu.

Sold out idea yang aku maksudkan di sini adalah seperti dalam situasi contohnya dahulu seorang itu adalah straight edge, tapi sekarang ni dah bertukar menjadi seseorang yang berlawanan ideanya dengan straight edge itu. Ataupun, seseorang itu yang dahulunya seorang punk, sekarang ni tidak lagi. Itu yang aku maksudkan dengan 'sold out idea'. Seperti yang kita semua sudah sedia maklum, punk sememangnya mementingkan kebebasan , dan sudah tentulah seseorang itu bebas untuk menjadi apa yang dia sukakan, selagi mereka tidak mencabuli hak-hak orang lain. Mungkin ianya berbunyi agak umum, tapi itulah apa yang aku cuba terapkan dalam hidup aku, kalo ianya berbunyi sedikit poyo pun, I'm sorry, but that's who I am:)

Friday 8 November 2013

BAND PUNK PERTAMA DI MALAYSIA

MUHAMMAD SYAZWAN ARIFFIN:- BAND PUNK MANA YANG PERTAMA KAT MALAYSIA?
DAN SIAPA YANG MEMBAWA BUDAYA PUNK NI MASUK KE MALAYSIA?

BEAR:- Know your history, ini sebagai satu dokumentasi aje, bukannya nak tunjuk siapa yang lebih lama, atau siapa yang lebih hebat. Untuk band punk yang terawal di Malaysia, berdasarkan dari segi tahunnya aktif dan band tersebut mempunyai recording material. Pertama sekali aku nak fokuskan kepada sebuah band dari kuala Terengganu iaitu band Malaria. Band Malaria ni wujud sekitar tahun 1985 hingga 1987, ianya adalah sebuah band projek yang memainkan irama punk dengan campuran trash metal. Menurut catatan yang ada, anggotanya terdiri dari Joe Kidd dan Kuyie. Rasanya mereka yang baca penulisan ni semua kenal Joe Kidd kan? Kuyie pula adalah pemilik studio jamming antara yang terawal di Kuala Terengganu ni. Walaupun aku belum pernah lagi mendapat demo dari diaorang ni, tapi ada sumber-sumber menyebut band Malaria pernah mempunyai demo/ rehearsal tape.

Pada jangkamasa yang lebih kurang sama, di Kuantan pula terdapat sebuah band punk yang di namakan Hijrah, dan band ni memang mempunyai sebuah demo tape yang diterbitkan pada tahun 1990 yang bertajuk Pilgrimage To Nowhere. Selepas mengeluarkan demo tersebut, kumpulan itu telah menukarkan nama band mereka kepada THE PILGRIM!, tapi masih dengan line-up yang sama. Sesuatu yang menarik tentang demo ini adalah, beberapa tahun lepas demo ini telah muncul di laman lelong MUDAH, dan di lelong dengan harga rm200 sekeping! Samada ada yang beli atau tidak, aku kurang pasti pulak. Jadi untuk band punk yang terawal wujud di Malaysia, aku beri penghormatan itu kepada band Malaria dan Hijrah. Tapi sebelum tu dah banyak bands yang wujud kat Malaysia ni, cuma bukan dengan konsep muzik punk aje. Bukannya aku nak menafikan kepentingan band-band itu tadi, tapi bagi aku apa sumbangan yang dapat sesuatu band itu bagi kepada scene adalah lebih penting, tak kisahlah band tu lama atau baru sekali pun.

Bagi pendapat aku, antara dalil utama kepada faktor yang membawa masuk budaya punk ke Malaysia ni adalah pelajar-pelajar Malaysia yang berlajar di luar negara, biasanya di US atau UK. So apabila diaorang balik bercuti ke Malaysia, atau apabila sudah tamat berlajar di sana, 'budaya' itu di bawa ke Malaysia melalui bahan bacaan, muzik, cara berpakaian dan berbagai lagi. Ada juga yang terus berhubung dengan kawan-kawan punk di sana walaupun sudah balik ke Malaysia. Perlu di ingatkan yang pemindahan budaya ni berlaku sekitar tahun 80an, dan medium perhubungan yang popular pada masa tu adalah Surat-menyurat. Perhubungan melalui internet pada masa itu belum di gunakan dengan meluas lagi, dan ianya lebih kepada kegunaan untuk urusan rasmi sahaja (atau urusan rahsia:)) Apabila punk di Malaysia berkomunikasi dengan punk di luar negara melalui surat, besar kemungkinan di dalam surat tersebut juga di sertakan kaset, bahan bacaan dan lain-lain yang ada kaitan dengan punk. Tetapi bukanlah semua yang study di US atau UK tu membawa balik budaya punk, cuma segelintir yang rebelious aje melakukannya. Yang tak rebelious pula bawak balik bini mat saleh aje:)

Suka aku ingatkan di sini, bahawa semasa punk baru nak bertapak di Malaysia, muzik metal underground dah lama bercambah di sini, lantas antara lain mewujudkan band-band metal dan juga fanzine. Fanzine pada zaman itu lebih berkonsepkan all-rounder genre, maksud aku kat dalam fanzine tu ada genre metal dan punk. Sebagai contohnya macam fanzine Aedes dan Vortex From The East, bah kan fanzine Heartcore pun pernah buat interview dengan band Nebiras dalam issue terawalnya. Apa yang aku cuba bagitau disini adalah mana-mana mamat yang mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi, apabila terbaca alamat penpal atau flyers tentang punk dari luar negara, lalu mereka cuba berhubung dengan mereka di alamat tersebut, lantas mewujudkan satu perhubungan dua hala atas dasar punk, maka itu juga di kira penyumbang-penyumbang yang membawa masuk budaya punk ke Malaysia.
Kesimpulannya, mereka yang membawa masuk budaya punk ke Malaysia ni adalah mereka yang dah muak dengan situasi muzik pada masa itu. Mereka yang rebellious dan dahagakan pembaharuan.


FAUZAN AZIZ:- APAKAH DEMO TAPE PERTAMA YANG KAU DAPAT?
BEAR:- untuk demo tape yang pertama aku dapat tu aku tak ingatlah, pasal aku takde menyimpannya lagi tape-tape lama aku. Tapi aku banyak dapat demo tape band metal yang aku dah lupa nama band-band tu. Kebanyakkannya aku beli dari kawan-kawan yang biasa order stuff dari Singapore. Tapi demo tape pertama yang aku order sendiri menggunakan surat adalah demo dari band Paranoid Pest (KL). Kalo tak silap aku harganya sekitar rm5 ke rm7 sekeping. Aku lipat duit tu elok-elok, poskan kat alamat band tu berdasarkan satu flyer yang aku dapat, tanpa mengharapkan langsung demo tu akan sampai kat aku, walaupun aku dah save duit belanja sekolah selama seminggu semata-mata nak beli demo tu. Dua minggu kemudian, satu sampul surat yang padat dengan flyers dan sekeping demo tape sampai kat rumah aku. Perasaan gembira time tu memang susah nak di gambarkan, macam dapat hadiah sempena birthday pulak. Kalo tak silap aku, yang poskan demo tape tu namanya Edmund, posisi bass atau drummer band tersebut. Lepas tu sempat juga lah aku berbalas surat dengan si Edmund ni dua, tiga kali, berbicara pasal scene apa semua. Demo tape Paranoid Pest tu walaupun cuma home dubbing aje, tapi packagingnya memang best, siap ada lirik dan gambo band semua. Kalo zaman sekarang ni memang susahlah nak cari demo stail gitu. Dari segi muzik pula, bagi aku diaorang ni main stail OAG lama. Tajuk demo tu aku dah lupalah, tapi aku yakin yang lagu pertama kat demo tu bertajuk 'prison'. Aku ni jenis manusia yang tak simpan stuff-stuff yang aku dapat, so nak buat rujukan dengan lebih detail tu susahlah sikit. Kadang-kadang tu aku rasa rugi jugak pasal tak menyimpannya, pasal benda-benda ni sekurang-kurangnya boleh membantu aku mendokumentasikan penglibatan aku dalam scene. Kalo orang lain tak berminat dengan dokumentasi aku tu, paling tidak pun aku boleh simpan untuk diri sendiri dan waris aku kelak. Aku juga berharap sesiapa yang masih menyimpan stuff-stuff lama (atau baru) diaorang akan dapat terus menyimpannya, atau kalo nak di wariskan pun eloklah di wariskan kepada mereka yang kita yakin dapat menjaganya dengan elok.

Manalah tahu, stuff-stuff yang sesetengah pihak pandang sebagai membuang masa ni, di masa hadapan akan dapat di jadikan salah satu panduan untuk mengkaji budaya kita. Contohnya sekarang ni botol kosong lama-lama pun orang duk gila kumpul diatas dasar untuk memahami sejarah. Menyentuh sedikit tentang mendokumentasikan budaya ni, aku rasa kat Malaysia atau Asia ni kesedaran ke arah itu belum memuaskan lagi, kalo kat US contohnya hampir 80 peratus budaya yang diaorang lalui di dokumentasikan dengan berbagai cara. Contohnya dari segi budaya punk, banyak buku mendokumentasikannya di sana, ada muzium-muzium punk, ada muzium khas untuk The Ramones, ada muzium muzik metal dan sekecil-kecil sub-budaya lain lagi. Mengenal masa lalu juga akan banyak membantu kita memahami masa sekarang, lalu membentuk masa depan. Sori jika aku banyak berceloteh sampai terkeluar dari topik asal:)

Tuesday 5 November 2013

DIY

NORIFUMI ZINE:- APAKAH YANG KAMU FAHAM TENTANG DIY?
SETAKAT MANAKAH PENTINGNYA KONSEP DIY NI DALAM KEHIDUPAN PUNK?

BEAR:-DIY ataupun Do It Yourself bagi aku adalah satu situasi di mana kita melakukan sendiri aktiviti Kita. Konsep DIY boleh di terapkan dalam banyak aktiviti seperti bertukang, bercucuk tanam, menjahit pakaian dan banyak lagilah. Pendek kata apabila sesuatu aktiviti itu di lakukan sendiri, maka ianya adalah DIY. DIY ni bukan sahaja di lakukan oleh kelompok punk, tapi mereka yang tak tahu apa-apa pun pasal punk boleh saja ber-DIY.

Di kalangan punk, konsep DIY adalah sangat penting kerana punk mementingkan ciri-ciri yang autonomi, berdikari dan cuba mengurangkan kebergantungan kita kepada sistem kapitalis. Punk membikin sendiri bahan bacaan mereka seperti fanzine dan di musim sekarang ni dalam bentuk buku dan bahan bacaan di laman web. Punk juga mengeluarkan sendiri rakaman album mereka, dan antara rakaman DIY punk lokal yang terawal adalah dari band The Bolloks yang mengeluarkan album mereka pada tahun 1998 sebanyak lebih-kurang 1200 unit. Itu belum lagi konsep-konsep DIY yang diterapkan pleh punk seperti komuniti space, membikin gig dan bermacam lagi. Pendek kata, DIY ni memang memainkan peranan yang penting dalam punk.

DEFINASI PUNK

NORIFUMI ZINE:-APAKAH DEFINASI PUNK BAGI KAMU?
BEAR:- Salah satu cara nak bagi budak punk bergaduh pendapat atau mungkin jugak fizikal sesama mereka adalah dengan menyuruh setiap dari mereka memberi makna 'punk' itu mengikut pemahaman mereka masing-masing, kerna aku yakin akan muncul berbagai-bagai definasi punk yang berlainan nanti. Kalo di kira definasi-definasi 'punk' yang pernah di buat, aku rasa ianya dah melebihi ratusan definasi yang berlainan pun. Aku pernah membuat definasi punk aku dulu, dan ianya samasekali berbeda dengan definasi punk yang akan aku cuba buat selepas ini, dan apa yang aku fahami sekarang ni mungkin ianya tidak akan sama lagi untuk sepuluh tahun akan datang. Makna punk itu sendiri bagi aku boleh berubah mengikut peredaran masa.
So, buat masa sekarang (16 nov 2013), apakah makna punk mengikut pemahaman aku? Bagi aku, punk adalah satu ruang untuk aku menyatakan siapa aku, tanpa sebarang pengaruh-pengaruh luar. 'Pengaruh' di sini aku maksudkan dengan unsur-unsur yang aku tidak sukai, kalo ianya sesuatu yang aku sukai aku boleh saja mengadaptasi pengaruh itu supaya ianya seiringan dengan 'ruang' yang aku nyatakan terlebih dahulu tadi. Ianya satu medium atau 'tempat' di mana aku boleh menjadi diri aku sendiri. 'Tempat' di sini bukanlah dalam bentuk yang fizikal.

Punk bagi aku adalah 'free space', tempat di mana aku boleh menjadi diri aku sendiri. 'Tempat' itu sendiri barangkali boleh menjadi satu komuniti. Satu komuniti yang aku rasakan ianya sesuai dengan diri aku. Pada awalnya, aku sentiasa merasakan diri aku ini tidak pernah 'fit' dengan 'dunia di luar sana', tapi aku juga yakin 'di luar sana' juga ada tempat untuk aku. Sehinggalah aku terjumpa dengan mereka-mereka yang berfikiran sealiran dengan aku. Apabila mereka-mereka yang sekepala ini 'berkumpul', ianya terasa begitu cool, ianya seperti inilah 'where i belongs'. Walaupun aku tulis tadi makna PUNK bagi aku ada kaitannya dengan 'menjadi diri sendiri', tapi aku tetap merasakan ianya masih mempunyai ciri-ciri yang tersendiri (kalo bukan peraturan pun). Kalo menjadi diri sendiri itu sahaja sudah punk, maka mat rempit pun boleh di labelkan sebagai punk. Geng-geng main dam haji kat kedai kopi itu pun boleh di labelkan sebagai punk!
Kesimpulannya, mengadaptasi ciri-ciri punk yang orthodoks dengan 'menjadi diri sendiri' adalah definasi punk bagi aku.


NORIFUMI ZINE:-TADI KAMU BERCAKAP TENTANG 'TEMPAT DI LUAR SANA', DAN SEPERTINYA IANYA VERSUS 'FREE SPACE', ATAU TEMPAT MENJADI DIRI SENDIRI ITU.
JADI, ADAKAH PUNK ITU HARUS MENGASINGKAN DIRI DARI MASYARAKAT AM-NYA?

BEAR:- Sebenarnya ianya tidak seperti itu. Mungkin pada awalannya ada sedikit terdetik perasaan itu, tapi jika punk sentiasa mengasingkan diri dari masyarakat sekelilingnya, maka persepsi masyarakat terhadap punk akan susah hendak di perbetulkan. Mungkin kamu akan berkata,"aku tidak peduli apa yang orang lain fikir tentang aku, aku tahu siapa aku!". Itu mungkin pendapat kamu, tapi bagi pihak aku, aku sudah mulai peduli apa yang orang lain fikir tentang aku, tentang ideologi aku. (anggaplah perkataan 'ideologi' di sini sekadar satu ganti nama). Aku, dengan ideologi ku, sendiri mahu menjadi masyarakat itu, dan aku sendiri mahu masyarakat memahami apa itu punk yang sebenarnya. Ianya bukanlah sekedar fesyen dan muzik semata-mata, ianya jauh lebih luas dari itu.

Aku suka mengambil contoh band Marjinal dari Indonesia di sini. Bagi aku, mereka adalah punk yang kental dari segi idea dan penampilan. Masyarakat sekeliling mereka asalnya berprasangka negatif terhadap mereka, tapi mereka mengambil langkah pertama dengan mendekati masyarakat. Marjinal, dengan penampilan punk mereka bergaul dengan tetangga sekeliling. Bergotong-royong, mencampuri majlis masyarakat sekeliling, menerima masyarakat sekeliling dengan 'tangan terbuka'. Selepas itu masyarakat sendiri akan cuba mendekati dan memahami mereka.

Punk itu menjadi diri sendiri, tapi ianya bukan satu pengasingan. Punk itu masyarakat , tapi masyarakat pada hari ini masih lagi bukan punk secara totalnya. Bukannya aku mengesyorkan yang semua orang patut menjadi punk, kerana ianya memang suatu yang mustahil. Lagipun perbedaan yang wujud di antara kita inilah yang menambah rencah dalam kehidupan ini. Kita meraikan perbedaan. Sudah tentu akan terjadi kebosanan yang amat jika semua umat manusia mempunyai pola pemikiran yang sama.

Sunday 3 November 2013

PUNK YANG TIDAK AWARE

LUQMAN LOQUE AL-HAKIM>
Kalo seorang pakcik tua, tak dress up punk, tak layan muzik punk dan tak tahu apa itu punk. Tapi kita tengok dia ada attitude punk, jadi adakah pakcik tersebut juga boleh di kategorikan sebagai punk?
Apakah syarat (atau tidak bersyarat) sah sebagai seorang punk?

BEAR:- kalo soalan ini ditanya kat aku 10 tahun lepas mungkin aku akan mengatakan pakcik itu punk, tapi berdasarkan pemahaman aku sekarang ni aku mengatakan pakcik tu BUKAN PUNK! Bagaimana seseorang individu itu boleh menjadi seseorang atau sesuatu, sedangkan dia tidak menyedari dia menjadi sesuatu yang di bincangkan di sini, dalam konteks ini menjadi punk. Punk bagi aku adalah individu atau golongan yang sedar atau aware tentang sekelilingnya. Bagaimana pakcik itu boleh di katakan aware tentang sekelilingnya jika transformasi (menjadi punk) dalam dirinya sendiri pun dia tak sedar.
Punk is about (or atleast you try to) total control of yourself. Punk adalah tentang menjadikan hari ini adalah lebih baik dari semalam. Aku menulis tentang punk 'generasi baru'. 'generasi' di sini adalah lebih kepada pola pemikiran. Aku tidak menulis tentang punk yang bernostalgia tentang semangat 77, atau punk pemabuk, atau punk fesyen. But if you do into that 'nostalgia trip' then go on, thats your choices, siapa aku untuk mengatakan ini tidak boleh atau ini boleh di lakukan. In this case, aku memberikan hak kamu itu untuk menjadi apa yang kamu mahu, dan diharapkan kamu juga menghormati hak aku.
Jika punk mempunyai 'syarat sah' untuk menjadi sebahagian daripadanya, maknanya AKU BUKAN PUNK!. Pasal syarat sah itu sendiri aku tidak tahu. Adakah antara syaratnya kita wajib memperagakan mohawk? Atau berjaket kulit berstud, berfikiran mengikut sesuatu aliran dan mendengar muzik dari band-band yang tertentu sahaja? Jika itu syaratnya, maka aku memang bukanlah seorang punk. Punk yang aku 'anuti' ( sekadar penggunaan perkataan) adalah dengan menguna-pakai idea-idea yang positif yang berlegar disekitar scene punk dan di sesuaikan pula dengan pemikiran aku sendiri, selagi pemikiran aku itu tidak bercanggah dengan idea-idea punk itu tadi. Adakah ianya praktikal untuk aku seorang sahaja, atau orang lain juga boleh menggunakan cara aku itu?
Sudah tentunya ianya adalah satu persoalan yang lain.